"Pelajar perempuan, jaga diri awak baik-baik. Jangan percaya dengan janji-janji manis lelaki. Awak timun, lelaki durian. Apabila durian langgar timun atau timun yang cari nahas langgar durian, timun yang akan rosak. Durian tidak terjejas," kata cikgu Sejarah, seorang lelaki.
"Kamu tolonglah jangan buat benda-benda tak elok. Saya dah naik muak baca surat khabar. Hari-hari berita yang sama. Ada je kes buang bayi, lari rumah, macam-macam lagi la. Sampai saya pun gerun memandangkan saya pun ada anak perempuan," luah Puan Sumiaton, guru bahasa Melayu.
"Ustazah sedih lihat anak-anak didik ustazah dah hilang rasa malunya. Dah tak tahu beza yang antara betul dengan salah. Ustazah harap pelajar depan ustazah ni semua akan jaga maruah, kehormatan diri. Jangan mudah cair dengan janji kosong," bicara ustazah dengan nada sebak.
Apa tugas kita? Hanya menadah telinga? Itu baru luahan guru-guru. Kalau ayah bonda pastinya lebih berjela. Mereka risau. Tapi kita jangan tak hirau.
"Kelas lain yang buat hal, kelas kita yang kena ceramah. Yela, mesti cikgu tak nak kita buat macam tu, sebab tu cikgu cakap awal-awal kan," kawan saya berkata sendirian. Saya tersenyum melihat gayanya. Memang betul. Hampir setiap guru yang masuk ke kelas kami akan berkata benda yang sama isi pentingnya. 'Jaga diri!'.
Kuasa cinta
Jangan kata kita boleh hidup tanpa cinta. Tanpa cinta porak perandalah hidup kita. Tidak ada lagi yang ingin memberi dan menerima. Semua dengan haluan masing-masing.
Al-Mutanabbi ada berkata:
'Cinta itu lebih tua daripada alam ini, kerana atas dasar cintalah Tuhan menciptakan alam ini.'
Wah! Hebat bukan. Anda tak rasa dicintai? Allah Maha Penyayang. Jika mampu, hitunglah nikmat yang telah Allah beri. Oksigen yang kita terima, deria yang kita guna, perasaan yang kita ada. Subhanallah, bertuahnya kita.
Tapi jangan khilaf faham tentang cinta. Main redah tanpa syariat. Itu cinta tanpa ilmu, cinta buta layaknya.
"Liyana, tengok tu. Tempat orang menghadap rezeki jadi tempat maksiat. Kawan kita pulak tu," kata teman sambil mencuit lengan saya. Kami di kantin sekolah.
"Mana?" jawab saya dengan malas tanpa mengubah posisi badan. Kepala masih melentok di atas lengan. Mengantuk! Lepas ini ada kelas tambahan addmaths pula. Sementara temankan kawan saya makan, mata direhatkan buat sebentar.
"Kat depan tu. Awak tak angkat kepala macam mana nak nampak," jawab kawan saya beria-ria.
"Saya kenal ke?" terasa berat betul untuk mengangkat kepala. Takut mata akan pedih melihat adegan yang tidak dialu-alukan.
"Laa, mesti la kenal. Kan saya dah kata kawan kita. Tuu, kat depan tu. Tengoklah Yana," bersungguh-sungguh betul kawan saya ni. Saya mengangkat kepala perlahan. Selepas melihat, saya sambung memejam mata.
Lelaki itu kawan saya. Ya, kawan. Bererti saya sudah gagal menjadi seorang yang layak bergelar kawan kepadanya. Buntu apa yang harus saya bantu. Berkali-kali guru-guru melempar nasihat, tak kan satu pun tak melekat?
"Laa, orang suruh tengok, dia tidur pula," kawan saya merungut.
"Dah, dah. Cepat makan. Nanti terlepas solat jemaah pula," gesa saya. Kalau boleh ingin segera berlalu dari situ.
Ketika kami ke surau, kawan saya itu masih di situ. Berbual mesra dengan si kekasih.
Jangan lupa
Selepas hampir setengah jam kelas bermula, baru dia masuk.
"Wei, ko solat tak?" terdengar kawan lelaki yang lain bertanya kepadanya.
"Ek eleh. Solat la. Ko ingat aku apa," balasnya dengan nada tinggi.
"Yela, masa orang solat jemaah, ko sibuk dating," kata selang seorang teman di sebelahnya. Memang tepat kena di batang hidungnya.
Kita ada telinga. Tugas telinga kita mendengar. Dengarlah teguran, jangan ditepis. Kita yang akan rugi.
Kita ada mata. Selaras dengan tugasnya, lihatlah sekeliling. Belajarlah daripadanya. Kenapa kita ditegah buat sesuatu? Pasti ada hikmahnya.
Kita ada akal yang ditugaskan untuk menilai. Berfikirlah dengan waras berlandaskan batas yang ditetapkan. Bukan untuk sesiapa, untuk kita juga.
'Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan dengan kekuatan, cinta bukan mengajar menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan, cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.'
(Hamka dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wick)
Manusia, padan dengan namanya. Mudah lupa. Ingatlah,
"Sesiapa daripada kalangan kamu yang bersyukur, maka akan Aku tambahkan untuk kamu (nikmat kamu), namun sesiapa daripada kalangan kamu yang kufur (tidak bersyukur) maka sesungguhnya azabKu amatlah pedih," (Ibrahim : 7)
Tiada sebab untuk kita tidak bersyukur. Kerana kita hamba. Hamba yang mewah dengan nikmat Penciptanya. Anda ingin bongkak? Oleh itu, saya ingin sekali ingatkan, anda yang rugi.
Jalan cinta
"Berdoalah, 'Ya Allah Ya Tuhanku, jika dia benar untukku, maka panjangkanlah jodoh kami. Jika dia bukan untukku, Kau cabutlah rasa cinta ini daripada hatiku kerana sesungguhnya Engkau jugalah yang mengurniakannya'. Sebaliknya orang selalu berdoa, 'Ya Allah, jodohkanlah aku dengan si fulan bin si fulan'. Ada beza," saya selalu teringat pesan ustazah.
"Proses mentarbiyah anak-anak bukan bermula dari dalam kandungan tapi sejak dari mencari pasangan hidup lagi," akak berkata ketika berkongsi tentang isi tesisnya.
"Betul tu. Tapi tengoklah sekarang, ramai yang dah tak jaga apa yang patut. Akhlak generasi sekarang makin teruk. Sebab tak ambil langkah berjaga-jaga dari awal. Tak dapat bayangkan masa akan datang ," Kak Ika menambah.
Kawan saya pernah berkata, 'cinta tu kalau kita salurkan ke jalan yang betul, seronok sangat'. Memang tidak dapat disangkal.
Lihat saja cinta para sahabat terdahulu. Abdul Rahman bin Auf. Dia telah menjadi benteng mempertahankan Rasulullah SAW ketika Perang Uhud. Kaki kirinya ditikam sebanyak 21 kali menyebabkan beliau tempang. Saya rasa anda tahu siapa Abdul Rahman bin Auf ini. Beliau seorang yang kaya-raya, bisa saja hidup senang-lenang. Tetapi demi cintanya kepada Allah dan Rasulullah, dia sanggup mengorbankan diri. Kita? Masih jauh? Dekatkanlah.
Bukan cinta murahan
Anda bercinta, anda yang rasa. Tenangkah bercinta tanpa redhaNya? Ingatlah, cinta murah dipandang rendah. Bukan sahaja di dunia, malah di akhirat sana.
Selaklah Al-Quran, di situ ada ketenangan. InsyaAllah kita dapat rasa nikmat cinta mengalir dalam jiwa.
Sujudlah dengan rasa rendah hati, kerdilnya diri. Kita perlukan cintaNya. Malah tidak perlu khuatir cintaNya berbelah bahagi untuk hamba yang lain. Kerana Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Beruntung bukan, bercinta denganNya?
Pastikanlah cinta kita mahal, bukan untuk dibuat barang mainan. Ya, kita sama-sama jadikannya kenyataan bukan khayalan. Jangan risau, pasti berbaloi.
Mengejar jannah abadi..